Bagaimana nanti?

1) Ini ialah cubaan pertama ku menulis dalam bahasa Melayu, bukan kerana aku tidak bangga akan bahasa yg menjadi jiwa bangsaku ini, tetapi bimbang dengan ketidak petahan aku menyulam bunga kata yang teratur formalitinya, bakal mencacat celakan penggunaan bahasanya kelak. Jadi, sekiranya coretan ini kurang mencerminkan keindahan bahasa keramat ini, maaf dipinta terlebih dahulu.

2) Sejak kebelakangan ini, banyak yang aku fikirkan berkenaan hidup. Hidupku, anak2, suami, keluarga dan seluruh masyarakat Muslim amnya. Menjadi takdir kita dijadikan Allah menghuni bumi di pengakhiran zamannya. Apakah bakal kesudahan dan pengakhiran yg menanti kita? Bila difikirkan terasa gerun. Kerana di pengakhiran zaman inilah sudah dijanjikan Allah dan diberi peringatan yang berat oleh Nabi Muhammad SAW tentang ujian paling berat umat Islam semenjak turunnya Adam. Bukankah tiada fitnah yang paling besar selain fitnah Al Masih Ad Dajjal? Bukankah telah diberitakana amaran2 tentang betapa beratnya ujian dan cabaran terhadap aqidah dan keIslaman kita bila datangnya Dajjal kelak?

3) Bumi kini memberi peringatan sedikit demi sedikit setiap tahun sehingga sekarang telah menjadi banyaknya peringatan2 itu. Tanda-tanda yang disebutkan Nabi terhadap kedatangan qiamat itu yang kecil2nya sudah banyak berlaku, dan yang besar2nya sudah juga memlabuhkan tirai memulakan persembahan. Saat kedatangan fitnah itu dirasakan kian hampir. Kalaupun tidak ditakdirkan melihatnya, bagaimanapula dengan keturunanku yang akan menempuhinya kelak? Berat rasa di dada mengenangkan apakah bisa anak2ku nanti sekiranya ditakdirkan menempuhi cabaran fitnah besar ini nanti, menongkah arus melawan yang batil dan memilih jalan kesusahan dengan kesedaran bahawa apa yang senang itu adalah dusta belaka dan neraka balasannya? Ya Allah, nauzubillah.

3) Sekali sekala teringat akan kata2 arwah Datukku dahulu. Dia tidak pernah lupa mendoakan kebaikan buat semua anak2, cucu2, dan sekelian keturunannya tetapi dia juga selalu berdoa apabila turunnya Dajjal kelak, biarlah tiada seorang pun zuriat keturunannya yang masih hidup untuk menempuhi ujian dahsyat itu. Di saat aku kurang mengerti keperluan doa sebegitu dan kurang memahami apa itu sebenarnya Dajjal dan fitnah besar akhir zaman, ku iyakan sahaja celoteh jiwa pengasihnya itu. Kini aku sedari, doa itu jugalah yang akan ku bacakan saban hari lantaran memahami kasih sayang yang diucapkan Datuk dahulu. Tiada siapa menginginkan orang2 kesayangannya menempuhi zaman dahsyat itu. Menegenangkan anak2 ku menempuhi fitnah besar Dajjal membuatkan ku rasa seperti hancur hatiku sekiranya mereka tidak bersiap sedia menempuhnya. Sedangkan yang merasakan sudah siap sedia juga belum tentu selamat – kerana ujian paling dahsyat yang belum pernah diturunkan sebelum ini, siapalah yang bisa mengagak dan meramalkan kehebatan dan kesusahannya.

4) Lantas ku berfikir, sehingga kehilangan jam tidur merisaukannya, bagaimana pula harus dipersiapkan anak2 ini dengan ilmu untuk menempuhi ancaman besar itu? Apa dan bagaimanakah bentuk ilmu dan amal yang perlu diajarkan supaya mereka kelak tidak seperti keldai yang terpinga2 menempuhnya? Apakah langkah yang paling wajar dan terpaling kedepan baiknya yang perlu diambil untuk persiapan mereka sebagai umat akhir zaman jika ditakdirkan mereka harus menempuh cabaran hebat itu? 

5) Anak2ku setakat ini telah dibesarkan dengan disiplin yang telah bersama kami persetujui suami isteri sebagai cara terbaik, agar menjadi insan terbaik akhlak and amalan sosialnya. Biarpun tidak mudah, kami berkeras mengajar keperibadian dan sikap berdikari yang tinggi dalam diri anak2. Setiap keputusan membentuk keperibadian dan akhlak mereka mengambil kira kesan dan perancangan jangka panjang, berdasarkan ilmu dan pembacaan yang berlandaskan agama dan sains. Lantas, apabila ada pihak-pihak yang kurang menghormati keputusan dan cara kami mengajarkan displin yang agak ketat dan jarang sekali beralah pada anak-anak, dan melanggar rutin disiplin yang sudah biasa diajarkan dengan membenarkan perkara2 yang tidak kami benarkan pada anak-anak, hati Ibu muda ini merasa kesal dan kecewa. Bukankah hak mendidik anak dengan acuan dan budi bicara yang dirasakan ibu bapa mereka sebagai terbaik untuk mereka harus dihormati oleh orang lain? Bukankah tidak wajar bagi pihak2 selain ibu bapa anak2 itu sendiri yang membuat keputusan penting melibatkan disiplin dan cara pembesaran mereka? 

6) Kekecewaan yang mendalam kurasakan atas perlanggaran disiplin dan sikap memanjakan anak2ku secara berlebihan bukanlah kerana aku tidak sayang dan tidak mahu anak2ku dimanjakan. Malah, kerana terlalu sayangkan anak2 jugalah, sikap tegas kami sebagai ibu bapa ditekankan, demi membentuk sahsiah dan sikap yang kental disiplin dan akhlaknya dalam jangka masa yang panjang, bukan semata-mata memuaskan hati sendiri  demi menjadi individu paling disukai anak2 tanpa memikirkan baik buruk keputusan yang diambil ke atas mereka dalam membentuk keperibadian mereka dewasa kelak. Jika ingin juga dimanjakan, biarlah sikap memanjakan mereka itu berpada-pada dan tidak menimbulkan kekeliruan dan percanggahan terhadap disiplin dan cara asas yang telah diterapkan dalam pembentukan peribadi mereka. Biarlah sayang yang ikhlas itu seiring dengan keinginan melihat mereka membesar dengan sikap dan akhlak yang baik, bukan rosak dengan kasih sayang berlebihan dan melampaui batas.

7) Pernah ku suarakan pada suami, harapan besarku, biarlah anak2ku ini jikalaupun ditakdirkan sedikit perlahan menimba ilmu duniawi, asalkan akhlak dan tiang agamanya utuh dan tegar, sudah mencukupi untukku berlapang dada sekiranya ditakdirkan Allah aku tiada di sisi mereka. Jikalau rukun Islam dan rukun Imannya diamalkan sempurna, hatinya sentiasa merendah dan bersyukur, pandangannya sentiasa positif, ingatan dan sifat kebergantungannya pada Yang Esa adalah tinggi, biar pendidikan sekular tidak setinggi mana, aku sudah berbangga. Kerana keperibadian akhlak dan agama yang tinggi akan sentiasa bisa menaikkan martabat seseorang lebih dari ketinggian Ilmunya. Darjat yang tinggi di sisi Allah, pasti dinaikkan juga disisi manusia, dengan izinNya. Tapi Ilmu yang seberapa tinggi sekalipun, tidak mungkin dapat memadam atau menyembunyikan sifat dan akhlak yang buruk yang akhirnya bisa merendahkan martabat seseorang. Maka dengan itulah, dalam kehidupan yang banyak diterapkan amalan2 keagamaan, disiplin dan sikap bertegas yang tinggi lebih ditekankan, daripada kebolehan membaca ABC atau menulis mengira seawal usia. Biarlah sempurna dahulu pembentukan sikap dan akhlaknya, sebelum bijaknya dia berkata, menulis dan mengira agar keperibadian yang mulia itu sesuatu yang semulajadi biasa bagi mereka, sebiasa aliran darah di dalam tubuh. Namun, jika akhlak dan agama yang tinggi, naik seiring bertambahnya ilmu duniawi, itulah yang paling baik.

8) Dalam memikirkan impian ke atas keperibadian dan akhlak anak2, disusuli kebimbangan mempersiapkan mereka berdepan fitnah besar akhir zaman sekiranya ditakdirkan mereka menempuhnya, kutelusuri sirah Rasulullah SAW dan sahabat2 Baginda, dan kisah2 pemuda lagenda berwibawa. Jikalau tidak dapat mencontohi sepenuhnya keperibadian hebat orang2 yang hidup semasa zaman kenabian, alangkah baiknya jika sekurang2nya anak2ku boleh menjadi hampir sehebat mereka yang hidup selepas zaman keramat itu?  Salah seorangnya ialah Sultan Muhammad AlFateh yang mashur kesempurnaan akhlaknya sebagai insan bukan nabi yang hidup di waktu sudah lama berlalunya zaman kenabian Rasulullah SAW. Bukan2kah dia sebaik2 Raja yang memerintahkan sebaik2 tentera dan ditakdirkan kerana segala kebaikan itu untuk menakluki Kota Konstantinopel? Bukankah dia seorang anak raja yang tidak dibesarkan mewah dan manja seperti layaknya seorang anak raja dibesarkan? Bukankah ibu dan bapanya keras dan tegas membentuk acuan peribadi dengan tidak mengalah dalam usaha membentuk insan terbaik dengan ilmu yang terbaik? Bukankah kerana sayang yang mendalam ibu dan ayahnya membenarkan dirinya didisplin ketat dan dibenarkan dipukul dalam usaha membesarkannya menjadi insan sempurna agama, akhlak dan ilmu? 

9) Benar Sultan Muhammad Al Fateh ditakdirkan menakluki Kota besar Konstantinopel, jadi layaknya haruslah dia sehebat itu. Mulanya kufikirkan, anak2ku kelak tidaklah aku perlukan menakluki sebarang jajahan, maka, cukuplah adanya jika mereka dapat menakluki nafsu dan sifat buruk mereka agar sentiasa berjaya memilih akal dan keputusan yang baik walaupun berdepan dengan kesulitan kerananya. Bukankah itu kejayaan yang paling mutakhir, kejayaan menakluki dan menewaskan nafsu sendiri yang akan membinasakan mereka. Bukankah fitnah Dajjal juga sebahagian besarnya bakal menguji kejayaan manusia mengawal dan menahan nafsu memilih kesenangan yang membinasakan, berbanding memilih kesusahan yang menjadi jalan ke syurga? Jadi, tidak perlulah mereka sehebat Muhammad Al Fateh, asal mereka mencapai sekelumit kehebatan itu dan tegar menghadapi kesusahan, pasti aku sudah bahagia.

10) Itulah fikiran awalku, sebelum memikirkan kemelut Dajjal. TETAPI, jika difikirkan kembali, mengapa tidak seharusnya mereka menjadi sehebat atau lebih hebat dari Sultan Muhammad Al Fateh? Malah, jika Muhammad Al Fateh yang tidak ditakdirkan hidup di zaman fitnah terbesar Dajjal sudah sehebat itu, bukankah pemuda2 yang bakal menempuh cabaran besar Dajjal kelak harus sebaik atau layaknya lebih baik dari itu? Jika tidak, masakan mereka bisa berjaya melawan ujian yang dijanjikan Allah tiada ujian lagi sebesar atau sehebatnya kelak? Bukankah pendidikan ke arah keperibadian Sultan Muhammad AlFateh itulah yang seharusnya menjadi matlamat dan aspirasi ikutan ibu bapa yang mendidik pemuda akhir zaman, kerana orang seperti Sultan Muhammad Al Fateh atau yang lebih baik daripadanyalah yang mahu direplikasikan dengan banyaknya di zaman fitnah paling besar Al Masih Ad Dajjal agar tergolongnya mereka dan orang2 ikutan mereka dalam golongan yang satu daripada 73 golongan Muslim yang lain yang berjaya menempuhnya kelak.

11) Memang berat dan sarat emosi dan intelek persoalan yang difikirkan ini. Jika semua zuriat keturunan ku kelak mati semuanya sebelum datangnya Dajjal, sehingga tiada seorang pun yang hidup untuk diuji, Alhamdulillah. Tetapi jika tidak, pastinya, jika anak2ku dan keturunan mereka kelak ditakdirkan menempuhi zaman fitnah besar itu, layaknya haruslah mereka lebih baik dari pemuda2 terbaik Islam di zaman dahulu. Kesusahan mendidik anak2ku di zaman ini makanya perlulah lebih tegas dan keras berbanding pendidikan Muhammad Al Fateh. Kesabaran dalam menginginkan kesusahan buat mereka untuk kesenangan masa hadapan makanya haruslah lebih tinggi. Cita2 terhadap ketinggian ilmu dan peribadi mereka haruslah lebih besar berbanding cita2 ibu dan ayah Muhammad AlFateh. Tetapi PERSOALANNYA kuatkah aku bertegas sehingga membenarkan anak dipukul gurunya apabila perlu? Melihat anak dimarah orang lain saja sudah menyedihkan hatiku, apatah lagi disakiti jasadnya. Sanggupkah aku menghantar anak berjauhan lamanya menimba ilmu seawal usia muda? Berpisah semalam dua sahaja sudah kurasakan sakitnya jiwa raga. Sungguh besar cabaran ini, malah hampir mustahil terlaksana di zaman ini, dan dengan kekentalan rapuhku ini. Apatah lagi bila memikirkan diri sendiri sahaja masih sungguh jauh dengan kesempurnaan dan kehebatan yang mahu diajarkan itu. Berat dan sedih hati ini memikirkan ketidakupayaan ini.

12) Kentalnya semangat meneruskan cabaran mendidik dan membesarkan anak2 dengan lebih baik dan tegas dari dulu lebih mencanak tinggi berbanding sebelumnya. Keinginan besar ini akhirnya sentiasa mengingatkan aku atas kekerdilan dan kelemahan diri ini. Doa dan semangat yang tidak berputus asa mahukan yang tebaik sahajalah menjadi senjata. Pasti, akan kami carikan buat mereka guru2 dan pendidik yang terbaik, sehabis upaya. Haruslah aku lebih redha dan sabar dengan ketegasan dan disiplin ke atas mereka sekiranya sedikit kekerasan diperlukan untuk melaksanakannya kelak, sebanyak yang kurasakan mampu, dalam kapasiti dan kemampuan emosiku. Kerana apa yang kumahukan adalah yang terbaik untuk mereka walaupun susah, bukan yang paling senang dan selesa, tetapi akhirnya membinasakan. Semoga Allah mengasihaniku dan memudahkan jalan ini, paling tidak, menebalkan dan meningkatkan lagi kekentalan jiwa dalam menempuhnya. Lebih utama, semoga Allah memelihara dan membantu kami menjadi Ibu bapa yang jauh lebih baik dari sekarang  agar menjadi tauladan yang diinginkan buat anak-anak, InsyaAllah. Banyaknya yang harus ku doakan setiap waktu. Semoga Allah mengizinkan segalanya, InsyaAllah.

13) Aamiin…

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: